Bercinta dengan berkesan!

KITA sering mendengar orang menyebut perkataan dakwah. Apapun, kesan dakwah kepada masyarakat terutama remaja masih menjadi persoalan. Dakwah ertinya mengajak, menyeru, memanggil, menyahut diri kita sendiri dan manusia lain untuk bersama-sama menghayati perintah Allah dan Rasul-Nya. Ia tidak disampingkan dengan penyelewengan atau sebab-sebab lain yang boleh membantut tugas menyeru orang ke arah kebaikan.

Manakala remaja pula golongan muda yang pemikirannya luas sedikit dan sekali gus peralihan ke alam dewasa. Untuk itu, cara berdakwah perlu dilakukan dengan berkesan.

Mendakwah golongan remaja perlu dilakukan dengan cermat dan perasaan penuh simpati dan berhemah. Apa yang salah diperbetulkan, yang payah dipermudahkan dan apa yang bakal memudaratkan mereka hendaklah dicantas lalu diganti dengan tindakan yang benar-benar mendatangkan manfaat. Kita tidak menafikan antara golongan yang paling mudah untuk didakwahkan adalah
golongan remaja. Apatah lagi jika mereka mempunyai persediaan pendidikan yang baik sejak di rumah lagi.

Namun dalam persediaan untuk mendakwah golongan remaja, kita jangan pula lupa remaja juga golongan yang paling mudah menerima pengaruh yang tidak baik. Akhlak mereka mudah dirosakkan oleh anasir yang tidak sihat.

Maka di sinilah letaknya fungsi golongan pendakwah antara keghairahan dengan
kebijaksanaan mereka dalam berdakwah. Sejak kebelakangan ini, remaja terlalu banyak didedahkan dengan budaya tidak sihat. Ini berlaku apabila terbukanya saluran maklumat yang pelbagai bentuk seiring dengan kecanggihan zaman teknologi maklumat. Timbul pertanyaan kepada kita kepada golongan pendakwah. Apakah memadai bagi mereka hanya menyampaikan dakwah melalui lisan. Sekadar menyampaikan dakwah di masjid, surau atau ceramah kalau ia hanya dihadiri remaja yang sememangnya cenderung ke arah kebaikan. Bagi kita ia tentulah tidak memadai.

Jika golongan remaja disogok dengan pelbagai kaedah dan penyaluran pengaruh
tidak sihat mengapa pendakwah tidak menggunakan cara yang sama? Kita perlu
mengkaji kesesuaiannya seterusnya menggunakan kaedah tersebut untuk tujuan
dakwah.

Perkembangan yang berlaku kebelakangan ini memperlihat remaja yang mendapat pendidikan agama turut tidak terlepas daripada menghadapi gangguan anasir yang tidak sihat. Pembabitan mereka dalam kumpulan Black Metal umpamanya memperlihatkan pelajaran agama yang mereka terima masih belum mencukupi untuk menjadikan diri mereka ‘kebal’.

Maka pendakwah perlu terus berjuang menghadapi kekeliruan remaja beragama ini. Apatah lagi apabila berhadapan dengan remaja yang tersasar terus daripada
perhatian ibu bapa dan pendakwah. Di sinilah pentingnya pendakwah menggunakan pendekatan baru dalam usaha dakwah mereka. Namun, sebelum mendakwah remaja, pendakwah juga harus memikirkan terlebih dahulu persediaan yang ada pada diri mereka. Mereka perlu memiliki ketinggian budi,
berfikiran terbuka serta bersedia menyerahkan segala urusannya kepada Allah.
Kita tidak mahu kekurangan yang ada pada diri pendakwah diambil kesempatan oleh remaja yang terkenal dengan nilai kritisnya untuk memperlekehkan mereka.
Lantaran pendakwah bukan saja tewas dari segi persediaan malah mereka gagal
memahami keperluan remaja terhadap kemurnian dakwah yang mahu dibawanya.

Anak
muda perlu didekatkan usaha menyelami hati murni mereka. Apakah keperluan mereka dan apakah pula kesukaan mereka. Jangan kerana terlalu ghairah membetulkan mereka lalu kita mendahulukan hukum daripada mendidik. Ia bukan saja meliarkan mereka malah mereka akan melihat Islam itu hanya dipenuhi dengan hukum-hakam dengan segala rintangannya.

Walau apapun tugas dakwah adalah tugas setiap umat. Ia tidak hanya terletak
kepada ustaz, guru atau kelompok tertentu saja. Malah sesiapa saja boleh
berdakwah kerana adakalanya sesetengah remaja lebih suka menghampiri rakan
mereka yang lebih memahami jiwa mereka.

Justeru dalam berdakwah kita perlu melihat kepada realiti kehidupan remaja.
Janganlah terlalu terburu-buru menarik mereka untuk memenuhi selera kita
sedangkan kita tidak tahu jenis makanan yang disukai remaja. Suatu kenyataan jauhnya remaja daripada agama adalah kerana mereka tidak mahu menanggung beban melalui hukum-hakam yang digembar-gemburkan oleh pendakwah. Amatlah malang jika ini berlaku kepada remaja hasil kesilapan pendakwah. Akhirnya, apa yang berlaku ialah musnahnya bunga di tangan beruk. Kegiatan dakwah diperlekehkan, golongan pendakwah dijauhi. Ketika inilah musuh-musuh sosial mengambil tempat merapati remaja kita yang berada di persimpangan.

Bagaimanapun, dalam konteks timbulnya perasaan seperti yang disebutkan ia sememangnya di luar kemampuan pendakwah. Mereka perlu kembali kepada niat yang ikhlas untuk berdakwah. Ini kerana sejarah membuktikan penyampaian dakwah yang dilakukan Rasulullah tiada tolok bandingnya dari segi hikmah dan kesempurnaannya. Tetapi tidak kurang pula kaum musyrikin yang menolaknya, seolah-olah apa yang disampaikan Rasulullah tidak menarik minat mereka. Dalam hal pendakwa perlu berlapang dada dan menyedari hak memberi hidayah ialah Allah sendiri di samping melihat remaja yang menjauhi mereka adalah pesakit yang perlu diubati. Hanya ubat yang sesuai saja bakal menyembuhi penyakit mereka.

Dapatlah dirumuskan, mendakwah golongan remaja perlulah dilihat daripada
beberapa aspek berikut:

1. Pendakwah perlu mempunyai niat yang ikhlas sambil berusaha mengelakkan diri daripada mencampuradukkannya dengan kepentingan duniawi.

2. Pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dakwah di samping keperibadian yang tinggi dan boleh dicontohi.

3. Pendakwah perlu memahami jiwa dan realiti kehidupan remaja serta menepati sasaran mereka.

4. Pendakwah perlu mempelbagaikan teknik berdakwah supaya sesuai dengan perkembangan semasa

5. Yang terpenting adalah menyerahkan segala urusan kepada ketentuan Allah.
Kesimpulannya, pendakwah hari ini adalah pembentuk generasi masa depan. Merekalah yang sebenar-benarnya pembentuk dan penentu hala tuju kehidupan
beragama masyarakat.

Maka bagi menjayakan misi dakwah, pendakwah perlu bersikap berkecuali dan tidak terdorong untuk melakukan usaha dakwah bagi kepentingan golongan tertentu atau kepentingan peribadi..

selamat berdakwah...